MM01-2001
GENGGAM BARA API ...
Isu perpaduan Melayu semakin hangat diperdebatkan.
Sebagai memenuhi tuntutan itu saya cuba membuat sedikit andaian yang bakal dan
telah berlaku dalam mewarnai dan menceriakan lagi perdebatan itu. Lagi pun saya
sudah berjanji tidak akan menyentuh isu Suqiu yang kini sudah pun kian padam
baranya. Namun gejolak semangat 'api perkauman' masih terasa hangat. Biar pun cuba
dipadamkan melalui beberapa kenyataan pemimpin BA, tetapi pimpinan UMNO melalui
medianya seperti sengaja membiarkan api perkauman itu bernyala, tidak mahu
dipadamkan. Justeru UMNO berjuang atas dasar assabiyah (perkauman), maka hanya ini
satu kesempatan yang baik buat UMNO untuk kembali melebarkan pengaruh dan
propagandanya.
Saya tertarik kepada ucapan Timbalan Perdana Menteri
Pak Lah Badawi di Melaka dua hari lalu bahawa orang Melayu masih berharap kepada
UMNO sebagai tonggak dalam menyatukan bangsa Melayu dan perjuangan hak
keistimewaan orang Melayu. Saya ingin katakan kepada Pak Lah Badawi, jangan berperasaan
sedemikian. Nanti malu, di mana mahu letak muka!!
Dakwaan Pak Lah pasti lahir dari perasaan egonya
sendiri. Orang yang ego, sombong dan takabur memang cepat lupa diri. Lupa Tuhan.
Mereka menyangka dengan keupayaan yang mereka ada, mereka boleh menguasai
segalanya. Padahal ada yang lebih berkuasa menentukan segala perjalanan hidup ini!
Suara hati majoriti rakyat Malaysia semakin jelas
kedengaran. Walau pun parti-parti pembangkang yang telah bersatu dalam Barisan
Alternatif gagal mendapat majoriti dua pertiga kerusi Parlimen dalam pilihan raya
umum negara 29 November 1999, namun itu tidak bererti pengaruh reformasi atau
tuntutan perubahan sudah kendur. Malahan kemenangan yang berpihak kepada calon BN
sangat disangsikan setelah kini diketahui secara sah, terang lagi bersuluh bahawa
kemenangan itu adalah dengan bantuan SPR serta adegan lakonan pengundi hantu yang
selama ini banyak membantu BN dalam mengekalkan kekuasaan mereka di negara ini.
Perdebatan mulut antara Ketua Pemuda KeADILan Ezam dengan Setiausaha Agung UMNO,
Khalil Yaakub pada pilihan raya kecil DUN Lunas 29 November tahun lalu membongkar
segala tipu muslihat BN selama ini.
Apa yang lebih menarik perhatian setelah tiga siri
pilihan raya kecil bermula dengan episod Sanggang, Teluk Kemang dan Lunas, suara
perubahan yang dituntut oleh majoriti masyarakat Malaysia semakin kuat. Walau pun
Suqiu sudah menggugurkan 7 tuntutan, ia adalah satu bilangan yang kecil dari
jumlah keseluruhan 83 yang dituntut. Ini bermakna masih ada 76 agenda tuntutan
yang masih perlu diambil perhatian oleh pihak pemerintah terhadap tuntutan
Jawatankuasa Pilihan Raya Persatuan Peniaga Cina (Suqiu). Hematnya, tuntutan
reformasi yang dihasratkan oleh pelbagai pihak dari rakyat negara ini masih
menyala dengan panas.
Kebanyakan orang Melayu (saya tidak pasti
peratusannya) telah menolak UMNO dengan selamba. Walau pun kita gagal mendapatkan
pandangan rakyat secara keseluruhan, namun kita boleh berpuas hati dengan angka
yang ditunjukkan dalam reaksi pelbagai kuiz yang dianjurkan oleh laman web pro
reformasi sebagai mewakili hasrat hati masyarakat Malaysia. Ini adalah kerana
pengaruh laman web semakin berkembang dan bilangan para netters yang melayari
laman web 'haram' ini semakin bertambah untuk menyeimbangkan bahan berita yang
mereka terima berbanding sogokan berita media perdana. Sokongan ini merupakan satu
kepercayaan rakyat terhadap bahan berita dari sumber 'asli' kerana
wartawan-wartawan atau penulis-penulis dalam laman haram ini adalah mereka yang
terlibat langsung dengan sesuatu berita yang dilaporkan. Pendek kata laporan itu
menjadi semakin telus dan lebih tepat berbanding dengan berita yang disiarkan oleh
Utusan Malaysia, Berita Harian mahupun TV3 sehingga mereka mendapat jolokan Utusan
Meloya, Berita Hairan atau TV3 suku.
Kehangatan sokongan rakyat selama 2 tahun api
reformasi yang dicetuskan sebaik sahaja DSAI dipecat dari Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan tidak luntur begitu sahaja. Selain berjaya menambah
kerusi BA di Parlimen, menjatuhkan satu lagi negeri ke tangan pembangkang serta
melebarkan pengaruhnya ke negeri PM sendiri, api reformasi terus bernyala dengan
marak. Setiap dakwaan dan tohmahan pemimpin UMNO tentang kejelekan BA dan
pengaruhnya akan dijawab terus menerusi laman web reformasi. Sehingga kadangkala
kita terasa lucu melihatkan telatah para pemimpin BN yang cuba menyangkal kembali
jawapan balas yang disampaikan melalui laman web-laman web ini.
Tingkah laku pemimpin BN akhir-akhirnya semakin
tersepit dan tidak keruan lagi. Kenyataan hasrat meletakkan jawatan oleh Menteri
Yang Tewas Dalam Pilihan raya, Datuk Paduka Abdul Hamid Othman dilihat sebagai
menghiris lagi 'kelukaan' yang dialami oleh BN khususnya oleh parti UMNO sendiri.
Sebenarnya, apa pun yang cuba dilakukan oleh pemimpin UMNO bagi menyelamatkan
parti itu saya sifatkan kini sebagai satu percubaan yang sia-sia sahaja. Ini
adalah kerana tiada satu pun yang mampu kekal melainkan dzat Allah atau Islam itu
sendiri sebagai agama samawats yang dijanjikan Allah bersifat sedemikian.
Sinonim dengan perjuangan menegakkan agama Islam, di negara ini menyebabkan
pengaruh PAS terus melebar di kalangan orang Melayu, juga bangsa lain di Malaysia
yang mulai faham akan ajaran agama Islam yang sebenar.
Kekuatan tuntutan perubahan rakyat semakin jelas.
Sebenarnya dalam sedar atau tidak reformasi telah berjaya membawa perubahan dalam
arus politik negara. Rentetan keadaan ekonomi negara yang semakin tertekan adalah
sebagai satu hukuman terhadap 'penyelewengan' harta negara sehinggakan hak negeri
Terengganu memperolehi royalti terus dilupakan. Walaupun kuasa rakyat semakin
ditekan oleh pemerintahan diktator Mahathir yang menggunakan Akta Polis dan Akta
Keselamatan Dalam Negeri bagi membenamkan kebangkitan itu, namun hakikatnya kuasa
rakyat tidak boleh dipadamkan begitu mudah. Setiap hari semakin ramai yang
mengetahui tembelang pemimpin UMNO selama ini yang dengan bebas membalun kekayaan
negara. Jika dihitung sehingga 2004, bilangan itu pasti terus bertambah tanpa
dapat disekat oleh kepimpinan BN.
Hakikat ini perlu diterima oleh para pemimpin
kerajaan BN hari ini, juga oleh sebahagian rakyat Malaysia yang lain. Ledakan
reformasi terus membara dalam jiwa merdeka rakyat Malaysia sebagai hasrat mahu
menghentikan kezaliman yang berleluasa kini terutama semenjak pemerintahan Dr.
Mahathir yang diketahui menganjurkan pelbagai dasar yang membawa keuntungan kepada
para kroni dan mendatangkan kebangkerapan kepada negara kini. Semua ketahui bahawa
hutang negara terus melebar di mana sehingga September 2000 jumlah itu sudah
mencecah RM160 bilion, satu jumlah yang besar bagi sebuah negara yang kaya dengan
sumber alam jika diuruskan dengan teliti dan betul.
Saya ingin menegaskan di sini sebagai kesimpulan
bahawa apa yang telah dilakukan oleh sebahagian rakyat Malaysia yang menyertai
gerakan reformasi bahawa mereka sudah berjaya melakukan sesuatu dengan 'cantik'
dan betul. Pengaruh reformasi yang semakin menebal dan bilangan yang bersimpati
dengan perjuangan ini semakin ramai, berbanding dengan yang tolol dan
berkepentingan, yang masih angkuh dengan UMNO yang jelas semakin reput dalam
ingatan orang Melayu. Pepatah orang tua-tua ada mengatakan 'genggam bara api, biar
sampai jadi arang'. Orang Melayu khususnya, harus meneliti dan menghayati kembali
pepatah ini supaya perjuangan yang telah dipelopori selama dua tahun kebelakangan
ini benar-benar memperlihatkan hasil yang 'lumayan'.
Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang mati,
biar berdarah.
Ingat, genggam bara api, biarlah sampai menjadi
arang!!
7 Januari 2001 |